Jumaat

pemakanan untuk kesuburan



soalan:

APAKAH makanan terbaik bagi wanita yang belum hamil untuk menguatkan rahim, memperbanyakkan telur yang matang, subur dan cepat hamil?
Apakah jenis makanan yang harus dielakkan oleh wanita yang belum hamil demi menjaga kesuburan, telur dan rahim?
Saya juga ingin tahu mengenai makanan terbaik untuk ibu hamil dan makanan yang harus dielakkan oleh mereka. Adakah sebarang vitamin untuk ibu hamil bagi mendapatkan anak yang bijak dan sihat sejak dari dalam kandungan lagi? 


Jawapan:
PEMAKANAN segar dan berkhasiat yang diambil berpandukan keperluan kalori serta mengikut piramid makanan adalah pilihan terbaik.

Istilah ‘menguatkan rahim’ adalah istilah yang tidak tepat atau pasti kerana rahim terbentuk daripada tiga lapisan otot yang sememangnya kuat untuk mengembang sepanjang kehamilan dan mengecut sewaktu kelahiran serta kembali kepada saiz asal dalam waktu berpantang.

Mungkin apa yang dimaksudkan adalah lapisan terdalam rahim yang menyalurkan makanan kepada kandungan. Sewaktu kehamilan, lapisan endometrium ini dinamakan desidua, namun kemudiannya bekalan makanan janin bergantung kepada uri dan ibunya.

Begitu juga dengan persoalan mengenai makanan yang membanyakkan telur matang. Wanita dilahirkan dengan sejumlah telur yang tidak akan bertambah lagi bilangannya. Pada setiap kitaran haid bagi wanita subur, hanya satu sahaja telur matang manakala sekumpulan yang lain akan mengalah dan pupus.

Keadaan ini berlaku sehingga menopaus yang mana tiada lagi telur dikeluarkan. Pengambilan ubat hormon kesuburan bertindak merangsang kumpulan telur supaya lebih banyak yang matang, bergantung kepada jenis dan dos ubat hormon berkenaan.

Tanpa ubat hormon kesuburan, ramai wanita subur ini hanya menghasilkan satu sahaja telur matang. Bagi wanita yang kurang subur ovarinya pula, tiada telur matang dihasilkan dalam kitaran terbabit.

Segelintir wanita yang tidak mengambil ubat kesuburan didapati hamil kembar (tidak seiras), ia lebih berlaku kepada wanita yang lebih berusia, tanpa mengira pemakanan mereka.

Amalan mengelakkan makanan ‘tajam’ atau ‘sejuk’ juga lebih berdasarkan kepercayaan masyarakat, kesahihannya daripada sudut perubatan moden belum terbukti.

Pada pendapat saya, tidak salah mengelakkan makanan terbabit sewaktu kehamilan memandangkan ia bukan makanan ruji kita iaitu tidak menjadikan kita kempunan atau kebuluran jika tidak mengambilnya.

Keperluan vitamin juga seharusnya mengikut kadar yang telah digariskan. Bagi sesetengah vitamin (yang bersifat larut air), pengambilannya yang berlebihan dianggap pembaziran kerana ia akan dilupuskan mengikut air kencing atau najis.

Namun bagi sesetengah vitamin lain (yang bersifat larut lemak), pengambilannya yang berlebihan boleh memudaratkan kita dan memberi kesan negatif kepada sifat janin, contohnya vitamin A.

Saya percaya, amalan kesederhanaan perlu dititikberatkan dalam aspek kehidupan kita termasuk dalam pengambilan makanan. Anak yang sihat dan bijak tidak semestinya datang daripada formula makanan ibunya.

Tidak semua adik-beradik sesuatu keluarga (yang dikandung dan dibesarkan oleh ibu yang sama) mempunyai tahap kepintaran yang sama.

Tiada ulasan:

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...